Sunday, November 23, 2008

Kedah perkenal ikan keli dalam tin

ALOR STAR 22 Nov. – Pusat Pelaburan Kedah (KIC), anak syarikat kerajaan negeri memperkenalkan produk terbarunya iaitu coklat buatan tangan berperisa kopi dan durian serta ikan keli dalam tin yang dijangka berada dalam pasaran seawal-awalnya bulan depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, ikan keli yang diternak secara organik itu akan ditinkan dalam empat perasa iaitu lada hitam, kari, kari pekat dan sos tomato dengan menggunakan jenama La’zatt.

Buat permulaan, kata beliau, ikan keli dalam tin itu akan diperkenalkan dalam pasaran tempatan sebelum meneroka pasaran luar negara selepas KIC membuat beberapa kajian termasuk daripada sudut teknikal.

‘‘Pertama sekali, kita dalam proses untuk mendapatkan sijil halal, barulah boleh kita lihat potensi untuk kembangkannya lagi. Buat permulaan, produk ikan keli akan ditinkan menerusi kilang yang dilantik secara kontrak oleh KIC.

“ Tetapi pada masa depan, kita akan bina kilang sendiri dengan menelan pelaburan beberapa juta ringgit,” katanya pada sidang akhbar selepas Pelancaran Ikan Keli Dalam Tin La’zatt dan Coklat Pastee, Majalah New Passage serta logo Institut Tenaga dan Hydrokarbon Kedah Australia (Kasehi) di Wisma Darulaman di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Bioteknologi, Pembangunan Usahawan dan Sains serta Inovasi Negeri, Amiruddin Hamzah; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan, Kerja Raya dan Pertanian Negeri, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Ketua Pegawai Eksekutif KIC, Datuk Mohd. Puat Mohd. Ali.

Sementara itu, dalam ucapannya sebelum itu, Menteri Besar berkata, coklat berjenama Pastee pula sesuai untuk pasaran dalam negara dan Asia serta boleh dijadikan ‘buah tangan’ kepada pelancong yang mengunjungi Kedah untuk dibawa pulang.