Monday, September 1, 2008

Lahir usahawan benih ikan secara sistematik

KUALA LUMPUR: Seramai 300 usahawan benih keli dan spesies ikan air tawar lain bakal dilahirkan secara sistematik dan berkelompok sebagai usaha membangunkan industri ternakan ikan air tawar yang masih kekurangan benih ternakan berbanding permintaan yang tinggi dalam negara.

Usaha berkenaan bakal dilaksanakan menerusi Projek Ketiga AgroHUB 2008-2010 yang antara lain merangkumi kursus pembenihan keli aruhan pada 13 dan 14 September depan, bertempat di Pusat Latihan Belia Bukit Lagong, Selayang, Selangor.

Ketua Pengarah Projek AgroHUB, Norzana Rafie, berkata program yang menjadi agenda pembangunan sektor pertanian itu bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan benih keli berilmu dan berkemahiran tinggi di negara ini.

Menurutnya, kursus berbentuk kemahiran itu sering menjadi pilihan orang ramai kerana dengan kemahiran yang dipelajari, mereka berpeluang mengusahakan sesuatu projek pertanian dan dapat menjana pendapatan yang memberansangkan.

Sehubungan itu, katanya orang ramai yang ingin turut serta mendalami kemahiran pembenihan keli aruhan itu boleh mendaftar diri mulai sekarang dengan menghubungi talian 03-6187 3796 atau 019-3310985.

Pemilihan kursus ini dibuat memandangkan permintaan terhadap benih keli meningkat berkali ganda sedangkan pengeluarannya pada masa ini tidak dapat menampung permintaan yang begitu tinggi.

“Anak keli yang bermutu tinggi mendapat permintaan di luar jangkaan dengan harga seekor bersaiz 3 inci semakin meningkat daripada 0.08 sen kepada 0.15 sen.

Dalam erti kata lain, masa depan terhadap perusahaan ternakan ikan air tawar ini dilihat semakin cerah berdasarkan trend permintaan ikan keli mentah di pasaran,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Sumber - www.hmetro.com.my

No comments: